follower

Thursday, 3 October 2013

Cerpen: Indra


“Indra, Lepaskan aku!” jerit Fisya kuat. Tangannya yang diikat kemas di belakang badan oleh Indra cuba dibuka tetapi tidak berjaya. Ikatan dikaki dan tangan Fisya diikat kuat. 

“Fisya, kenapa ni? Kau tak suka ke duduk sama – sama dengan aku?” Ucap Indra dalam tawa. Fisya hanya menjeling Indra yang duduk di dinding berhadapan dengannya. Indra senyum simpul melihatkan wajah marah milik Fisya. Rindu, Indra benar – benar merindui Fisya kekasihnya yang dulu.

“Apa kau nak dari aku sebenarnya ni?” Tanya Fisya dalam marah apabila ikatan itu gagal dibukanya. Mata Fisya sudah mula berair, terlalu marah dengan apa yang sedang dia lalui. Indra masih membisu. Pertanyaan Fisya dibiarkan tanpa jawapan. Saat itu, hanya pisau belati di tangan sahaja yang menarik perhatiannya. Mata belati itu digosok – gosok perlahan, lagaknya seperti cuba menghayati sesuatu. Fisya menelan liur sendiri. Takut!

“Kau tahu apa yang aku nak, kau tahu apa yang aku mahu. Fisya, semua yang terjadi, semua salah kau!” perlahan tapi tajam kata – kata Indra menusuk telinga Fisya. Kini giliran Fisya pula membisu.

Gadis berambut panjang paras bahu dan bertubuh ramping dalam baju pengantin itu dipandang Indra sekilas. Gadis itu cantik, tetapi terlalu berbahaya. Gadis itu pembunuh, pembunuh jiwa seorang lelaki!

*****
“Sayang, I janji… I janji akan setia pada you seorang sahaja!” Fisya sudah angkat tangan kanan separas bahu seakan – akan sedang membaca ikrar.

“Jangan berjanji sayang kalau you belum tentu boleh buktikannya. I tak nak satu masa nanti, you akan tenggelam dalam janji – janji you.” Balas Indra dalam senyuman. Tali leher di kolar baju direnggangkannya sedikit. Fisya di tempat duduk sebelah penumpang sudah menghela nafas perlahan. Lelaki itu terlalu memikirkan fakta dan kesan atas sesuatu perkara dan perkataan. Sungguh paranoid!

“Merajuklah tu! Sayang, I cakap benda betul. I tak nak satu masa nanti, bila I susah, you tinggalkan I macam tu je, saat itu you akan lihat I berubah watak. I yang you tengok hari ini memang seorang yang penyayang, you boleh buli I macam kucing, you boleh belai – belaui I, satu masa, bila you dah tak mampu nak tunaikan segala janji – janji yang you buat, you akan tengok I berubah menjadi singa.” Balas Indra sambil matanya terarah pada pemanduan.

“Please Indra, jangan paranoid sangat!”

“I bukan paranoid, tapi sejarah dah membuktikannya.” Jawab Indra sinis.

“Sayang, kita dah nak kahwinpun. Hujung bulan ni I dah janji nak bawa you jumpa parents I, apalagi yang you merepek ni?” balas Fisya sambil membetulkan rambut depannya yang mula menutup mata.

Indra hanya senyum sinis. Indra dapat merasakan bahawa keluarga Fisya tidak akan dapat menerimanya apabila mereka tahu akan latar belakang keluarganya. Walaupun Indra kini sudah memegang jawatan sebagai pengurus di Syarikat bertaraf antarabangsa dengan pendapatan sekitar RM6000, Indra yakin itu bukan modal untuk dia meyakinkan keluarga Fisya untuk menerima dirinya. Siapalah yang sanggup bermenantukan lelaki sepertinya jika kisah hidup dirinya disingkap kembali.

*****

Kampung Teratai Dalam
Julai 1995

Indra duduk mencangkung di tepi sofa di ruang tamu itu. Telinga cuba ditutupnya dengan menggunakan kedua – dua belah tangan. Matanya masih tertancap kepada seorang lelaki dan seorang perempuan yang sedang bertikam lidah.

“Aku nak bercerai dengan kau!” jerit perempuan itu.

“Aku tak akan ceraikan kau! Perempuan macam kau memang tak sedar untung!”

“Kau lelaki dayus! Lepaskan aku,” wanita itu sudah menolak – nolak badan lelaki di depannya. Lelaki itu hanya membiarkan sahaja perlakuan wanita itu. Masih mampu menahan amarahnya.

“Munah, tarik balik kata – kata kau! Aku masih suami kau yang sah,” balas lelaki itu separuh marah.

“Lelaki apa? Kau dayus! Ceraikan aku! Ceraikan aku!” jerit wanita itu. Lelaki itu buat tidak peduli. Langkah diaturnya ke sofa di tepi dinding. Perlahan – lahan punggung dihenyakkannya dia atas sofa. Cuba mengawal api kemarahan yang semakin membara.
Melihatkan kebisuan lelaki itu. Wanita itu terus bergerak ke dapur dalam perasaan amarah yang menggunung. Sebilah pisau di ambilnya di rak pinggan lalu dia berjalan laju mendekati lelaki itu. Lelaki yang duduk di sofa membelakangi isterinya itu masih memaku memandang muka televisyen. Wanita itu berdiri tegak dibelakang lelaki itu. Perlahan – lahan rambut lelaki itu dicengkamnya. Cengkaman yang perlahan menjadi semakin kuat apabila mata pisau itu di letakkan di tengkuk lelaki itu.

Penuh rakus mata pisau itu dibenamkan ke tengkuk lelaki malang bergelar suami itu. Mata Indra memaku memandang situasi yang tidak terjangka itu. Wanita itu ketawa mengekek apabila melihat lelaki itu mengelupur seperti ayam disembelih. Indra dan wanita itu hanya memaku memandang darah yang membuak – buak keluar dari tengkuk lelaki itu.
Beberapa minit kemudian, tubuh lelaki itu longlai. Ruang tamu kecil rumah kayu itu banjir dengan darah merah milik lelaki bernama suami itu. Wanita yang tadinya ketawa mengekek tiba – tiba berubah laku. Teresak – esak melihatkan tubuh longlai di depannya. Indra menjadi pelik melihatkan perilaku ibunya itu.

Perlahan – lahan Indra mendekati wanita itu, “Ibu,” panggil Indra perlahan.
Wanita itu memandang Indra tajam. “Siapa ibu kau? Nama aku Siti Saminja dari Gunung Merak!” jeritnya sambil bangun berlari ke pintu utama. Indra kelu, bertimpa – timpa perkara pelik yang tidak mampu diterima akal kanak – kanak seusianya.

*****

Empat pasang mata itu terarah kepada Indera yang duduk di ruang tamu rumah teres dua tingkat itu. Dua pasang mata milik ayah dan ibu Fisya, dua pasang lagi milik abang dan juga sepupu lelaki Fisya yang kebetulan berada di rumah itu.

Selepas meninggalkan Indra bersama keluarganya, Fisya bergerak ke dapur membantu bibik menyediakan makan malam, tujuan Fisya sengaja mahu memberi ruang kepada keluarganya untuk berkenal – kenalan dengan bakal suaminya itu.

“Uncle dengar kamu kerja dekat syarikat GLC dekat Bangsar ye.” Soal Tuan Muhamad, Ayah Fisya.

“Ye uncle,” jawab Indra seraya mengangguk. Senyum diukirnya manis pada lelaki asing di depan matanya.

“Kamu boleh ke nak jaga Fisya? Mampu beri kemewahan pada dia sama macam yang dia ada sekarang?” soal Puan Murni pula. Wanita lingkungan 50-an itu sudah senyum menyindir. Bagi Puan Murni, lelaki seperti Indra tidak mungkin boleh membahagiakan anak daranya itu. Puan Murni lebih mengenali Fisya. Fisya adalah seorang gadis yang boros berbelanja. Terlalu mengikut trend hingga melakukan pembaziran.

“Insha-Allah, boleh Aunty.” Jawab Indra cuba meyakinkan Puan Murni.

“Nanti suruh mak dan ayah kamu datang sini masuk meminang.” Ucap Tuan Muhamad kepada Indra. Mata – mata di ruang tamu itu yang memfokus kepadanya tidak langsung dihiraukan.

“Dia mana ada mak dan ayah, mereka dah mati. Mak dia bunuh ayah dia.” Ucap Fisyard yang sedari tadi hanya bertindak sebagai pemerhati.

Empat pasang mata itu membutang memandang wajah Indra. Indra sudah menelan liur sendiri. Kepala ditundukkannya. Terasa seluruh darah menyerbu ke muka. Indra malu!

“Fisyard! Jaga adap kamu.” Marah Tuan Muhamad. Bakal menantunya itu cuba dibela. Puan Murni sudah menjeling tajam suaminya. Terasa sakit hatinya apabila anak lelakinya dimarahi kerana Indra.

“Betul ke apa yang Fisyard cakap tu?” soal Puan Murni kepada Indra. Indra hanya membisu. Cuba mengumpul kekuatan untuk membela diri.

“Mama, Fisy cakap benda yang betul!” Fisyard cuba memancing kepercayaan Puan Murni.
“Betul ke Indra?” perlahan Tuan Muhamad bertanya. Lelaki tua itu amat mengharapkan berita yang dikhabarkan oleh anak lelakinya itu palsu.

Indra menarik nafas perlahan. Kepala diangkat memandang wajah Tuan Muhamad. “Betul. Saya memang anak yatim piatu. Ibu saya bunuh ayah, kemudian ibu bunuh diri. Saya membesar di rumah anak yatim.” Tuan Mahmud dan Puan Murni terkedu. Fisyard sudah senyum sinis.

“Betul tak Fisy cakap?” soal Fisy dalam senyuman sinis.

Tuan Muhamad sudah mengeluh. Sedikit marah kerana lelaki itu tidak menceritakan latar belakangnya sejak mula mereka bertemu tadi.

“Maaf, saya tak benarkan awak berkahwin dengan anak saya!” tegas kata – kata Tuan Muhamad.

“Tapi Tuan, setiap manusia pernah ada sejarah hidupnya sendiri. Tuan tak boleh nak zalimi saya hanya kerana saya anak seorang pembunuh.”

“Betul. Tapi, saya memilih untuk tidak mahu menyerahkan untung nasib anak saya kepada kamu. Carilah calon lain, tapi bukan Fisya!” ucap Tuan Muhamad lagi.

“Papa!” suara Fisya sudah memenuhi ruang tamu. Fisya berjalan mendekati Tuan Muhamad. Bahu lelaki itu dipegangnya perlahan.

“Papa, tolong jangan buat macam ini. Fisya dah janji nak kahwin dengan Indra.” 

“No! papa tak benarkan. Dia anak seorang pembunuh. Papa tak nak sejarah berulang. Papa tak nak satu masa, Fisya jadi mangsa dia.” Perlahan dan lembut suara Tuan Muhamad memujuk anak kesayangannya itu.

Indra hanya senyum melerek. Telah disangkanya situasi ini pasti akan terjadi. 

*****

“I minta maaf Indra. Semua ini keputusan Papa dan mama. Sorry…” perlahan kata – kata Fisya menerjah gegendang telinga Indra. Indra hanya membisu. Hilang sudah semua impiannya selepas bertemu keluarga Fisya dua minggu lepas.
Jujur, Indra sudah jauh hati.

“Papa minta I sampaikan kad jemputan kahwin ini pada you.” Ucap Fisya seraya kad bersampul merah jambu itu dihulurkannya kepada Indra. Tanpa sebarang pertanyaan, Indra hanya mencapai kad itu dari tangan halus Fisya.

“I pergi dulu, tunang I tunggu dekat bawah.” Perlahan tetapi tajam kata – kata Fisya menampar telinga Indra. Indra hanya mengangguk mengiyakan kata – kata Fisya. Fisya mula bergerak ke pintu untuk keluar dari pejabat Indra.

Setelah kelibat Fisya hilang, perlahan – lahan sampul kad itu dikeluarkannya. Indra menarik nafas dalam – dalam apabila melihat nama yang tertera di atas kad. Fisya bakal berkahwin. Bukan dengan orang lain, tetapi dengan sepupunya sendiri.
Kini Indra tahu apa puncanya lamaran dia ditolak oleh keluarga itu. Fisya sudah dijodohkan dengan sepupunya. Jika begitu, apa sebabnya dia diminta datang melamar Fisya di rumah itu? Indra sudah menggelengkan kepala.

Ironi sungguh.

*****

Jalan Datuk Temenggong
Jun 1995

“Saya nak tok hantar yang kuat sikit. Saya nak keluarga dia porak – peranda. Saya tak nak tengok dia bahagia!” 

“Boleh… boleh… tapi upah lebih sikit.” Lelaki bertubuh kurus dan berambut putih yang dipanggil Wak Man itu sudah mengukirkan senyuman sambil menggosok – gosok perlahan janggut putihnya.

“Boleh, itu semua boleh! Janji tok uruskan sampai jadi,” ada nada arahan dalam kata – kata wanita itu. Lelaki tua itu mengangguk faham. Murni sudah senyum simpul. Hari ini mungkin akan menjadi hari terakhir dia melihat Munah berbahagia. Tanpa sedar, wanita itu sudah senyum simpul.

“Benda ini tanam depan pintu dapur rumah dia. Selalu, pagi – pagi sebelum subuh dia akan keluar pintu belakang untuk ambil daun pisang, awal pagi sebelum azan subuh jampi – jampi aku sedang nak telus.” Satu bungkusan kecil yang dibalut kain berwarna kuning itu bertukar tangan.

“Kalau terkena pada suami dia macammana?” Soalan Murni seakan – akan tidak meyakini bomoh yang diupahnya itu.

“Suami dia kerja shift malam. Balik rumah pukul 8.00 pagi. Kau jangan risau, budak – budak aku dah pergi tengok.” Murni sudah mengangguk mengiyakan kata – kata Wak Man.

“Sudah, pergi balik… ikut semua pantang yang aku cakap sebelum ini. Kasar kata – kata Wak Man. Murni mengangguk lagi. 

Murni dan Maimunah memang sahabat baik dari zaman kanak – kanak. Kemana sahaja mereka pergi sering berdua, hinggakan ada antara orang kampung yang menggelarkan mereka belangkas mahupun kembar siam. Mereka tidak kisah. Langsung tidak ambil pusing. Tapi, semuanya berubah apabila mereka meningkat remaja. Seringkali Murni dan Maimunah dibezakan. Tidak dapat disangkal bahawa Maimunah mempunyai rupa paras yang lebih molek dan cantik dari Murni. Malah, kerana kecantikan itu, Ariff si jejaka idaman kampung mereka memilih Maimunah untuk dijadikan isterinya. Murni yang sememangnya meminati Ariff dalam diam makan hati sendiri. 

Dihari perkahwinan Ariff dan Maimunah, Murni menangis. Sangkaan orang kampung dan keluarga mereka kerana Murni sedih mahu melepaskan kawan baiknya. Tapi, jauh disudut hati Murni berdendam kerana Ariff memilih Maimunah dari dirinya.

Setahun selepas Maimunah berkahwin, Murni juga berkahwin dengan lelaki pilihan keluarganya. Murni bahagia. Tapi, entah mengapa, dua tahun selepas perkahwinannya, Murni dapat tahu suaminya Muhamad jatuh hati pada Maimunah. Murni semakin berdendam dengan Maimunah. Pelbagai cara dilakukannya untuk menjauhkan Maimunah dari keluarganya tetapi tidak berjaya. 

Apabila rumahtangganya semakin goyang, Murni menjadi semakin tidak tentu arah. Murni menjadi sangat tertekan apabila melihat suaminya semakin menggilai Maimunah. Malahan, tanpa berselindung suaminya beriya – iya meyakinkan Murni jika Maimunah bercerai dia akan mengambil Maimunah menjadi isteri keduanya. Saat mendengarkan kata – kata itu keluar dari mulut suaminya, Murni jadi galau. Segala yang berada di dalam hidupnya terasa bagai dicantas.

Murni tidak sanggup. Maka, rumah Wak Man ditujuinya.

Muhamad sudah ketawa perlahan. Kain berwarna merah di dalam genggamannya dibuka perlahan.  Muhamad nekad. Dia mahu Ariff menceraikan Maimunah. Muhamad mahu Ariff tunduk dengan segala perintahnya.

Tengahari tadi, Muhamad sempat bertemu dengan Nenek Piah untuk mendapatkan bungkusan yang sudah dijampi serapah jin itu. Menurut Nenek Piah, jika serbuk itu dituang ke dalam minuman seseorang pada remang senja hari khamis, orang itu bakal menurut perintah Tuannya tanpa banyak soal. Orang itu akan menjadi patung, hanya mendengar arahan daripada tuannya. 

Muhamad sudah tidak sabar. Jam di tangan dikerling sekilas. Suasana dikedai kopi di hadapan Surau itu meriah dengan golongan muslimin yang sedang berborak sambil menunggu azan Maghrib berkumandang. Satu tiub kecil serbuk itu dimasukkan perlahan - lahan ke dalam kopi yang dipesannya untuk Ariff. Kopi hitam pekat itu dikacau perlahan – lahan sambil membaca ayat – ayat jin yang dihafalnya dari Nenek Piah. Ketika dia bertemu Ariff dalam perjalanan pulang tadi, Ariff sudah berjanji akan bertemu dengannya di gerai itu sebelum Ariff bergerak ke Surau.

“Assallammualaikum!” ucap Ariff ketika menghampiri Muhamad.

*****

Jalan Singgang Kiri
September 2013

“Sebenarnya, Pak cik datang berjumpa Indra sebab nak ceritakan suatu perkara tentang keluarga Indra. Pak cik tahu, semua ini dah terlambat. Tapi, Pak cik dah tak mampu nak simpan rahsia ni. Pak cik rasa bersalah sangat.” Lebai Ali sudah menarik nafas perlahan.

“Saya tak faham.” Ringkas jawapan Indra. Indra kelu. Terasa pelik apabila lelaki tua yang sudah dianggapnya sebagai keluarga itu meminta dia pulang ke rumah lelaki itu dengan kadar segera.

“Macam ini…” lelaki itu sudah membetulkan silanya. Kopi di dalam cawan ditolak  sedikit menjauhinya.

“Ayah kamu dibunuh bukan sebab kerelaan ibu kamu. Ayah kamu seorang lelaki yang baik, seorang Jemaah surau yang lembut dan taat pada agamanya. Tapi, kerana cemburu manusia, ayah kamu telah disantau. Hilang segala egonya sebagai seorang lelaki. Ibu kamu pula telah disantau oleh kawan baiknya sendiri kerana dendam dan cemburu. Ibu kamu seorang wanita yang baik, taat pada agama dan suaminya. 

Tetapi, kerana cemburu orang lain, ibu kamu menjadi seperti patung, hingga membunuh suaminya. Apa yang Pak cik tahu, ayah dan ibu kamu menjadi mangsa santau. Pak cik tak nak kamu rendah diri apabila orang mengatakan kamu anak kepada seorang pembunuh. Bukan, kamu bukan anak seorang pembunuh. Keluarga kamu hancur kerana khianat dan cemburu.”

Air mata Indra gugur satu persatu. Sedih dan kecewa menyatu di dalam hatinya. Sebak sungguh hati Indra apabila kejadian lama itu terulang tayang di mindanya.

“Sebabkan perkara inilah Tuan Muhamad dan Puan Murni tak nak terima lamaran saya. Sebab perkara inilah Fisya tak jadi kahwin dengan saya!” Indra seakan – akan menyesali takdir.

“Tuan Muhamad? Puan Murni?” soal Lebai Ali seakan terkejut. Indra mengangguk mengiyakan pertanyaan lelaki tua itu.

“Mereka ada anak lelaki nama Fisyard?” soal Lebai Ali lagi. Indra mengangguk lagi. Lebai Ali sudah geleng kepala.

“Mungkin ada sebab Allah pertemukan mereka dengan kamu,”

“Mereka yang menyebabkan keluarga saya hancur?” kini giliran Indra menyoal. Lebaik Ali mengangguk perlahan. Tidak sanggup rasanya dia mahu menyebut nama dua orang manusia bertopengkan iblis itu.

“Allah masih sayangkan mereka. Pak cik ingatkan mereka terkorban dalam kemalangan bas di hujung kampung lima belas tahun dulu. Tak sangka Allah masih beri mereka masa untuk bertaubat.” Ucap Lebai Ali dalam senyuman.

Indra sudah senyum sinis. “Tuhan bagi mereka peluang, tapi saya akan datang pada mereka sebagai Malaikat Maut!” ucap Indra penuh benci. 

“Indra, jangan buat benda bodoh!” nasihat Lebai Ali. Indra buat tidak tahu. Tangan lelaki itu disalamnya, Indra bangun dari duduk dan mula berjalan keluar dari rumah itu.
“Indra, jangan!” ucap Lebai Ali seakan – akan faham akan tindakan Indra.

*****

Tuan Muhamad dan Puan Murni sudah berpandangan. Terasa meremang bulu roma mereka saat memasuki kawasan rumah papan yang sudah using itu. Di luar rumah itu terlihat sebuah kereta Honda Civic hitam milik Indra diletakkan ditepi pokok ketapang.

“Abang, ini bukan rumah Munah ke?” soal Murni terketar – ketar. Muhamad hanya membisu. Kelu.

Pintu kereta dibuka perlahan. Mereka berjalan beriringan masuk ke dalam rumah itu.

“Fisya… Fisya!” jerit mereka berdua. Masih kelu. Tiada sebarang jawapan. Satu persatu bilik di dalam rumah itu mereka buka.

“Fisyaaaaaaa…” jerit Puan Murni apabila melihat tubuh longlai Fisya yang masih dalam pakaian pengantinnya. Tubuh Fisya dipangku Tuan Muhamad. Fisya sudah tidak bernyawa.

“Fisya, Fisya bangun… mama datang ni, jom kita balik.” Panggil Puan Murni masih mengharapkan anaknya itu masih hidup.

“Dia tak akan bangun. Dia dah mati… dah bertemu mata dengan bakal ayah dan ibu mertua dia.” Indra berdiri di tepi dinding menghadap dua orang manusia itu. Senyuman diukirnya.

“Dulu, dalam rumah inilah aku menangis, meratap apabila ibu aku bunuh ayah aku. Sakit, pedih… semua itu aku bawa hingga sekarang. Hari ini kau tahu sudah tahu maksud kehilangan, betul?”

“Kau kata kau cintakan dia, kenapa kau bunuh dia?” soal Puan Murni.

“Untuk suatu pembelaan. Hutang darah dibayar darah!” balas Indra dalam tawa. Indra puas. Kini Indra juga menjadi pembunuh. 

“Indra memang anak pembunuhkan aunty?” ucap Indra seraya ketawa kuat.

_________________________________

Jemput baca, komen juga eh,, maceh :)


1 comment:

  1. jalan cerita menarik tapi ade kesilapan tentang anak lelaki ke anak perempuan?..
    macam ade silap je..heeheh :)

    ReplyDelete

Thanks ye sudi bagi feedback :)